Siaran Akhbar PI KJT Sambutan melebihi sasaran
17 April 2018 | Aktiviti TerkiniBiarpun penyertaan dibuka kepada sasaran 50 peserta dikawasan setempat sahaja, namun Hari Terbuka Pusat Internet (PI) Kesedar Jeram Tekoh bersama komuniti dihadiri hampir 100 peserta berumur 18 hingga 60 tahun. Program itu bukan sahaja mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat setempat, malah dari penduduk bandar Gua Musang, Kampung Renok, Kampung Limau Kasturi dan kawasan Felda Chiku.
Pengurusnya, Mohd Ilham Ruslay berkata seramai 50 orang ahli baharu mendaftar di pusat internet berkenaan bagi bersama-sama menjayakan pelbagai program yang diatur selepas ini. Katanya, walaupun berada di pedalaman, peserta dari kawasan lain turut memeriahkan program yang dijalankan ini.
Ahli kita terdiri dari pelbagai kelompok dan generasi, malah setiap program dijalankan kita turut mengambil kira pelbagai peringkat umur usia. “Lebih membanggakan golongan suri rumah juga semakin terbuka dan dapat meluangkan masa menyertai program kita. Segala kursus yang disusun adalah percuma,” katanya.
Program yang turut dihadiri Pegawai Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Gua Musang, Fakri Bin Mohamed itu diisi dengan kempen advokasi seperti Klik Dengan Bijak (KDB) mengenai penyalahgunaan internet dalam kalangan kana-kanak, remaja dan dewasa melalui ceramah KDB serta tayangan video.
Mohd Ilham Ruslay berkata, seiring dengan perkembangan teknologi kini masyarakat perlu didedahkan dengan laman sosial dan jenayah siber yang banyak memberi keburukan serta kerugian kepada masyarakat terutamanya dikawasan luar bandar. Tambahnya, program tahunan itu bukan sahaja mempromosikan perkhidmatan yang disediakan malah bertujuan mendekatkan masyarakat setempat dengan pusat internet.
“Tema bagi Hari Terbuka Bersama Komuniti adalah PI Bestari, Komuniti Lestari dimana ia bersesuaian dengan khidmat komuniti yang ditawarkan oleh PI Jeram Tekoh. Advokasi terutama aktiviti KDB merupakan inisiatif kita untuk menyedarkan masyarakat tentang bahaya jenayah siber.
Program e-waste turut diperkenalkan kepada masyarakat dalam memupuk kesedaran mengenai proses melupuskan sisa digital dengan betul. Dalam program itu, lima aktiviti dan pertandingan berjaya dilaksanakan antaranya Pertandingan Mereka Roti Golok Kreatif, Pertandingan Mereka Mini Cupcake Kreatif dan pertandingan menaip pantas kategori belia serta dewasa. Selain itu, turut diadakan penyampaian anugerah Sukarelawan PI, Anugerah Ahli Aktif, Anugerah Usahawan Terbaik PI dan Anugerah Media Terbaik PI.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: